Rabu, 24 September 2014

Muktamar Pemuda PAS Perwakilan Keluar Dewan Ketika Ucapan Perasmian Oleh Mat Sabu

Antara agenda yang paling dinantikan bagi mana-mana mesyuarat persatuan atau pertubuhan adalah ucapan perasmian dari tetamu kehormat yang dijemput bagi tujuan itu.

Berbeza dengan muktamar Pemuda PAS Malaysia kali ke 55 yang diadakan semalam apabila hampir 50 perwakilan Pemuda PAS keluar dewan muktamar ketika Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu menyampaikan ucapan perasmiannya.

Ada antara mereka yang keluar dewan tersebut memakai jaket 'vest' berwarna hitam bertulis 'Kami bersama Presiden dan Majlis Syura Ulamak.


Kebanyakan mereka dipercayai perwakilan dari Pahang, Terengganu dan Selangor itu bertindak keluar meninggalkan dewan sebaik sahaja Mohamad memulakan ucapan perasmian muktamar Dewan Pemuda PAS pusat.

Apabila ditanya oleh pemberita, para perwakilan tersebut mengelak dari memberi sebarang komen.
Dalam sidang media selepas merasmikan muktamar tersebut, Mohamad menafikan tindakan kumpulan itu sebagai tanda protes terhadap ucapannya dan beliau mengakui "tidak nampak" perbuatan mereka itu.

Beliau menganggap tindakan kumpulan itu keluar untuk menunaikan solat dan kemudiannya akan memasuki kembali dewan persidangan itu.

"Tak ada (protes)...Saya tak nampak, mungkin orang pergi sembahyang dan sebagainya dan masuk kembali, biasalah itu," katanya yang mengganggap "biasa" apabila kumpulan itu memakai vest seumpama itu.

tertarik dengan ulasan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang turut serta dalam sidang media itu.
"Saya rasa begitulah, sebab waktu sudah lewat, ada yang ada pergi sembahyang," katanya.

Selaku seorang Ketua Pemuda, mungkin kita mahu dengar satu ulasan yang lebih meyakinkan berkenaan kejadian itu.

Mustahil sebagai Ketua, beliau tidak mengetahui dan melihat ada kalangan perwakilannya memakai vest sebegitu.

Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tidak sehaluan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan ulama PAS berhubung isu menteri besar Selangor.

melihat tindakan perwakilan pemuda yang keluar dewan muktamar tersebut sebagai protes terhadap tindakan Mat Sabu serta beberapa pimpinan PAS yang mengkritik keputusan Haji Hadi untuk tidak mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal MB Selangor.

Keputusan Haji Hadi tidak menamakan Wan Azizah sebaliknya menghantar 3 nama lain seperti yang diminta oleh pihak Istana bagaimanapun mendapat sokongan penuh dari Majlis Syura Ulamak.

Kerana itu, kita dapati 'vest' hitam yang dipakai oleh kumpulan perwakilan tersebut tertera 'Kami Bersama Presiden Dan Majlis Syura Ulamak'.


Melalui rakaman video kejadian berkenaan, apa yang kita dapat lihat adalah perwakilan yang keluar dewan tersebut berkumpul sesama mereka di luar dan ianya menolak dakwaan serta andaian mengatakan mereka keluar untuk menunaikan solat.